Wednesday, December 21, 2011

PERDANA MENTERI SETUJU TANGGUH SBPA - OMAR OSMAN

PUTRAJAYA 22 Dis. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan skim sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan untuk dirunding semula dengan penjawat awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.
Beliau berkata demikian kepada sekumpulan ahli kongres itu di perkarangan bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di sini hari.
Omar dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia tengah hari ini berhubung isu itu. 
- UTUSAN

IJN Perkenal Mitra Clip atasi kebocoran Injap

IJN Perkenal Mitra Clip atasi kebocoran Injap


Percepat pemulihan pesakit jantung

KUALA LUMPUR: Kebocoran injap mitral dialami oleh pesakit jantung terutama mereka yang berusia, kini boleh diatasi dengan kaedah terbaru dipanggil Mitra Clip yang mana ia tidak memerlukan pembedahan besar manakala proses pemulihannya pula lebih cepat.


Institut Jantung Negara (IJN) menjadi pelopor kepada kaedah terbaru yang mana rawatan berkenaan boleh dilakukan dengan pembedahan kecil dengan alat Mitra Clip dimasukkan melalui salur darah di kaki terus ke jantung untuk menutup kebocoran.

Ketua Pengarah Eksekutif IJN, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari, berkata setakat ini seramai tujuh pesakit di IJN sudah menjalani rawatan menggunakan kaedah berkenaan tanpa sebarang komplikasi, malah sembuh dalam tempoh dua hari berbanding pembedahan biasa yang mengambil masa sehingga 10 hari.


Katanya, masalah kebocoran injap mitral ialah apabila kelopak injap tidak berfungsi secara normal, menyebabkan darah dipam kembali ke dalam saluran kiri jantung dan mengakibatkan ia bekerja lebih kuat untuk mengepam darah. Keadaan itu juga menjadi penyebab lemah jantung.


“Kaedah ini mula diperkenalkan di Amerika Syarikat. Ia digunakan di Australia dan New Zealand enam bulan lalu, dan kini di negara kita. Setakat ini, sebanyak 4,000 klip sudah digunakan seluruh dunia,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. 
Sistem Mitra Clip ini merangkumi tiga komponen iaitu dawai peranti, sistem pengawalan proses meletakkan implan dan klip itu sendiri.


Dr Robaayah berkata, penggunaan teknologi terbaru itu dapat direalisasikan dengan bantuan kewangan sebanyak RM1 juta hasil sumbangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Siri Wang Baru Di edar Januari 2012



Not kertas, syiling tampil ciri-ciri unik negara, tahap keselamatan dipertingkat

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia memperkenalkan siri mata wang baru yang akan mula diedarkan pada separuh kedua tahun depan, dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan.


Siri baru diperkenalkan itu terdiri daripada wang kertas RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 serta melengkapi wang kertas RM50 yang mula diperkenalkan sebelum ini.
Ia juga melengkapi mata wang siling baru yang diperkenalkan pada 25 Julai lalu dan akan digunakan bermula Januari ini.

Siri terbaru mata wang Malaysia mengambil inspirasi daripada pelbagai ciri-ciri unik Malaysia, dengan menggunakan elemen khazanah semula jadi, budaya dan warisan negara.

Pelancaran siri mata wang baru berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Bank Negara, dalam kenyataannya berkata mata wang baru itu menampilkan ciri-ciri tradisional dari segi seni dan kraf, keindahan alam sekitar, flora dan fauna serta ekonomi. 


“Siri baru mata wang juga menggunakan ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan sejajar dengan kemajuan terbaru dalam teknologi mata wang.

“Ciri-ciri keselamatan bagi mata wang baru itu termasuk imej bayangan, tetingkap lebih jelas, potret bertanda keselamatan dengan piksel dan angka yang diserlahkan, benang keselamatan berwarna, benang lensa mikro serta tampalan berkilat bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti nilai setiap satunya.

“Satu lagi ciri-ciri dipertingkatkan ialah pengenalan secara sentuhan yang membolehkan individu kurang penglihatan dapat mengenal pasti dan membezakan nilai mata wang berbeza,” kata kenyataan itu.

Semua mata wang di bawah siri baru berkenaan masih mengekalkan potret Yang di-Pertuan Agong pertama, bunga raya, nilai muka bagi mata wang serta corak fabrik tenunan tradisional songket di bahagian hadapannya.

Di bahagian belakang pula, ia menampilkan elemen berlainan mengikut nilai termasuk alam sekitar, budaya, tradisi, flora dan fauna yang mencerminkan identiti Malaysia.

Mata wang baru itu juga masih mengekalkan logo Bank Negara, siri nombor, perkataan bertulis jawi dan corak tenunan songket di bahagian belakangnya.

Dengan pelancaran siri baru berkenaan, Bank Negara akan bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, perniagaan dan vendor mesin kendalian tunai bagi memastikan perubahan kepada mata wang baru dapat dilaksanakan dengan lancar.

Vendor mesin kendalian tunai diberikan masa enam bulan untuk mengubah suai mesin masing-masing bagi memastikan mata wang baru itu dapat digunakan.

Sementara itu, mata wang peringatan bagi siri baru berkenaan boleh didapati di ibu pejabat Bank Negara dan cawangannya masing-masing di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu bermula hari ini. 


Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SiriwangbarudiedarJanuari/Article

SBPA: CUEPACS AKAN BERHIMPUN DI JPA JIKA SESI TEMU PM GAGAL

KUALA LUMPUR, 18 Dis — Cuepacs sedang mempertimbangkan perhimpunan ‘protes’ di pekarangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya jika pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Khamis ini berkenaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) tidak menemui penyelesaian.
Perhimpunan itu dirancang untuk diadakan pada 27 Disember.
Presiden Cuepacs Omar Osman berkata, perhimpunan itu bertujuan melahirkan perasaan tidak puas hati kakitangan awam berkenaan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.
Rasa tidak puas hati itu dilihat sebagai yang pertama dalam sejarah Cuepacs — sebelum sesuatu sistem saraan baru dikuatkuasakan.
“Tengok dulu, jika pertemuan dengan Perdana Menteri pada 22 Disember ini tidak menemui hasil yang diharapkan, maka kami akan mengadakan perhimpunan selepas mesyuarat majlis kongres pada 27 Disember.
“Mesyuarat majlis am akan membuat pendirian akhir. Kami mahu JPA mendengar rintihan ahli-ahli Cuepacs mengenai SBPA, kita akan berhimpun di Blok C1 (bangunan JPA di Putrajaya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider di akhir perhimpunan dan taklimat bantahan mengenai SBPA kepada sekitar 2,000 ahli jawatankuasa kesatuan gabungan Cuepacs di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.
JPA mengeluarkan pekeliling pelaksanaan SBPA pada 7 Disember lalu bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Perhimpunan dan taklimat hari ini diadakan bagi menerangkan rasa tidak puas hati berkenaan kandungan SBPA.
Cuepacs mahu JPA menangguhkan urusan opsyen SBPA selain membatalkan dasar pemisah, yang salah satu tujuannya ialah menghentikan kakitangan yang gagal memperlihatkan prestasi yang baik.
Dasar pemisah juga akan digunakan untuk seseorang kakitangan awam berhenti kerja dan datang balik kemudian.
Selain itu, badan induk kesatuan sekerja ini juga mahu kerajaan mengkaji semula komponen SBPA dengan mengadakan perundingan bersama pihaknya.
Cuepacs juga mahu kerajaan menjelaskan pelaksanaan perubahan gaji antara tujuh dan 13 peratus ekoran pelaksanaan sistem gaji satu lapis berbanding gaji tiga lapis sekarang.
Malah, ia juga mendakwa proses naik taraf gred-gred di bawah SBPA masih belum selesai.
Cuepacs memutuskan bantahannya ke atas beberapa aspek SBPA ketika mengadakan mesyuarat majlis kongres di Kuala Perlis minggu lalu.
Pada sidang media 7 Oktober lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata SBPA mewujudkan empat hierarki perkhidmatan awam iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.
Di bawah SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini, peruntukan gaji secara ‘single point’ tanpa kenaikan gaji tahunan diberikan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan kenaikan gaji tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi.
SBPA juga menyediakan peruntukan jadual gaji sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.
Sekarang mereka berada dalam sistem gaji tiga baris atau tiga lapisan.
Kesemua 1.4 juta kakitangan awam termasuk mereka yang masih di bawah Sistem Saraan Baru (SSB), yang diperkenalkan pada 1991 sebelum digantikan dengan SSM akan diberi opsyen sama ada mahu menerima SBPA ataupun sebaliknya.
Jika mereka memlih untuk kekal dalam SSB dan SSM, mereka akan menikmati sistem saraan lama.

JPA sahkan elaun, skim gred dikaji semula secara peringkat mulai 2012

JPA sahkan elaun, skim gred dikaji semula secara peringkat mulai 2012Enlarge Photo
JPA sahkan elaun, skim gred dikaji semula secara peringkat mulai 2012

Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 16 Dis — Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah mengesahkan pihaknya akan mengkaji semula elaun dan pelarasan gaji secara berperingkat mulai tahun depan susulan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan cadangan kajian itu akan bergantung pada kemampuan kewangan kerajaan kelak.
SBPA akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.
“Kita ada carta tindakan. Oleh itu kita akan kaji satu persatu mulai tahun depan selepas pelaksanaan SBPA,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Ya, mengikut jadual kerja, kami akan memulakan kajian pada tahun depan. Sekarang kita tumpu pada SBPA dulu. “Bagaimanapun pelaksanaan bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, JPA akan berikan cadangan kepada kerajaan dan terserah kepada kerajaan,” kata beliau lagi.
“Begitu juga kajian semula skim gred dan pelarasan gaji kemudian, ekoran pelaksanaan SBPA,” kata beliau lagi.
Abu Bakar (gambar) berkata kajian semula perkara-perkara berkenaan akan dijalankan secara berterusan untuk menambahbaiki sistem saraan melibatkan kakitangan awam.
Awal minggu ini, The Malaysian Insider membawa laporan memetik kesatuan gabungan Cuepacs berkata, kajian semula elaun dan pelarasan gaji kakitangan awam dijangka dilakukan secara berperingkat-peringkat pada tahun 2013 dan 2014 susulan pelaksanaan SBPA.
The Malaysian Insider difahamkan kerajaan meletakkan sasaran dua tahun itu masing-masing bagi mengkaji semula lebih 100 jenis elaun melibatkan 1.4 juta kakitangan awam dan kemudian pelarasan gaji mengambil kira keadaan semasa.
“Mengikut maklumat yang kami terima, yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam semasa taklimat SBPA baru-baru ini, kerajaan mahu melaksanakan satu persatu, di mana tahun ini kajian semula sistem saraan baru, daripada Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada SBPA.
“Kemudian tahun depan, kami iaitu Cuepacs dan JPA akan meneliti soal keperluan mengkaji semula elaun-elaun yang ada, yang diterima oleh kakitangan awam, dan kemudian pelarasan tahun pada 2014,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan.
NUTP merupakan antara kesatuan gabungan terbesar dalam Cuepacs. Setiausaha Agungnya juga merupakan setiausaha agung Cuepacs.
Jika kajian yang akan dilakukan pada tahun depan mendapati sesuai dan perlunya elaun-elaun yang diterima kakitangan awam diubah dan dinaikkan selari dengan SBPA, kata Hashim, perkara itu akan dilakukan pada 2013.
“Begitu juga dengan pelarasan gaji, kajian semula akan dimulakan pada tahun 2013, dan jika ada keperluan, maka pelarasan  gaji akan dibuat pada 2014,” katanya.
Semasa sidang media sempena pelancaran SBPA pada 7 Disember lalu, Abu Bakar berkata, SBPA yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2012 hanya melibatkan semakan gaji, bukannya pelarasan gaji.
Di bawah SBPA, kerajaan memperkenalkan sistem gaji sebaris berbanding tiga baris di bawah SSM.
Pengenalan SBPA melibatkan kenaikan kos hampir RM2 bilion.
Malah ia juga tidak melibatkan sebarang perubahan dalam elaun-elaun diterima, khususnya elaun kos sara hidup, elaun perumahan dan elaun keraian.
Selain itu ada sekitar 170 jenis elaun dinikmati oleh kakitangan awam mengikut gred dan skim masing-masing.
Pekeliling pelaksanaan SBPA menyebut bahawa prinsip, kadar dan syarat-syarat bayaran imbuhan tetap yang berkuat kuasa dikekalkan di bawah SBPA.
Mengikut pekeliling itu, terdapat 119 jenis elaun dibayar kepada kakitangan awam kategori umum manakala perkhidmatan pendidikan pula menawarkan 37 jenis elaun.
Menurut SBPA, pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan rombakan sistem saraan perkhidmatan awam secara tersusun.
Ia menekankan aspek pengekalan prinsip-prinsip saraan yang berkuat kuasa dengan penambahan empat prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut Kumpulan Perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi.

Local Times

Visitors

free counters