Thursday, December 22, 2011

PROTON EXORA BOLD 1.6 BAHARU 2012 | EXORA BOLD IS LAUNCHED

PROTON EXORA BOLD 2012 | EXORA BOLD IS LAUNCHED | Proton memperkenalkan model Exora baru yang diberikan penambahbaikkan untuk prestasi dan gaya yang terkini. Proton Exora Bold 2012, juga dilengkapi dengan 1.6L Charged Fuel Efficiency (CFE) Engine yang mampu memberikan anda kuasa seperti memandu sebuah jentera 2.0L engine.


Model Proton Exora Bold 1.6 baharu ini dikeluarkan dalam tiga variasi iaitu Executive MT (transmisi manual), Executive AT (transmisi automatik 4AT), seterusnya versi tertinggi Exora Bold 1.6 Premium CVT (transmisi CVT) yang menggunakan enjin CFE (CamPro Fuel Efficiency), dibantu oleh sistem turbo dengan keluaran kuasa setinggi 138hp@5,000rpm dan tork maksimum 205Nm@2,000-4,000rpm.


 
 

Senarai harga Proton Exora 2012 :
1) Proton Exora 1.6 Standard MT – RM59,998.00 (CPS Manual)
2) Proton Exora Bold 1.6 Executive MT – RM70,998.00 (CPS Manual)
3) Proton Exora Bold 1.6 Executive AT – RM74,998.00 (CPS Automatik 4AT)
4) Proton Exora Bold 1.6 Premium CVT – RM79,998.00 (CFE + CVT)
5) Proton Exora Prime – RM88,998.00 (CFE + CVT)
SUMBER : Proton Edar


Amalan di dunia penentu kehidupan akhirat


Amalan di dunia penentu kehidupan akhirat
Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2011/12/23

Umat Islam wajib percaya setiap perbuatan pasti dapat ganjaran sama ada dosa atau pahala

ALLAH SWT menyediakan dua penempatan kepada manusia iaitu penempatan sementara di dunia dan penempatan kekal di akhirat. Di penempatan pertama, Allah SWT mendatangkan kepada manusia pelbagai ujian kepada orang Islam dan bukan Islam, beriman atau sebaliknya.

Di penempatan akhirat, Allah SWT menjanjikan balasan kepada manusia sama ada syurga atau neraka, bergantung kepada nilai amalan manusia sepanjang hayat mereka di dunia yang dihitung menerusi timbangan antara pahala atau dosa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan cari pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan jangan kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baik (kepada orang lain) seperti Allah berbuat baik kepadamu dan jangan kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qasas, ayat 77).

Sesungguhnya keseimbangan Islam berkaitan dunia dan akhirat tidak boleh dilihat dengan nombor dan bilangan tetapi melihat keseimbangan ditetapkan Allah SWT. Dalam Islam tidak ada pemisahan antara dunia dan akhirat, bahkan kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain.

Ajaran Islam tidak pernah memisahkan antara urusan dunia dan akhirat kerana semuanya akan dinilai di akhirat nanti. Justeru, manusia mesti melakukan urusan keduniaan yang menepati ajaran Islam untuk mendapat nikmat atau azab di akhirat.

Bagaimanapun, fitrah hati dan diri manusia cenderung melihat bukti atau dalil yang dapat mengukuhkan kepercayaan mereka terhadap perkara dijanjikan Allah SWT seperti bukti kewujudan pahala, dosa, syurga dan neraka serta semua perkara yang tidak dapat dilihat pada mata kasar. 
Sedangkan hakikatnya, persoalan dosa dan pahala serta syurga dan negara termasuk kiamat adalah termasuk dalam perkara ghaib, yang tidak wajar diperkatakan melainkan berpandukan nas dan dalil al-Quran dan Sunnah.

Walau bagaimanapun, sebagai Muslim yang beriman kepada Allah SWT, kita hendaklah melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah dan menghindarkan setiap apa yang mendekatkan diri kepada neraka.

Orang beriman harus memahami konsep Islam ialah agama yang memperseimbangkan antara tuntutan hidup di dunia dan akhirat. Segala harta kurniaan Allah hendaklah diguna dan diuruskan kepada perkara kebaikan yang mendapat ganjaran di akhirat.

Kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di akhirat tidak mungkin dapat dikecapi tanpa melakukan amalan baik ketika di dunia seperti menafkahkan harta pada jalan Allah, mengeluarkan zakat, bersedekah selain melaksanakan perintah wajib seperti solat lima waktu.

Keseimbangan dunia dan akhirat akan mewujudkan umat Islam yang sentiasa memberi manfaat pula kepada sekalian manusia. Justeru, umat Islam perlu sentiasa berwaspada agar tidak berlaku pengabaian antara kedua-dua tuntutan berkenaan dalam kehidupan seharian. 

Dalam apa juga aspek kehidupan, Islam mengingatkan kita mengenai dua kehidupan yang perlu diseimbangkan iaitu dunia dan akhirat. Malangnya, dalam keghairahan umat Islam mengejar impian hidup di dunia, ada masanya mereka tergelincir daripada landasan agama sehingga mengabaikan kepentingan akhirat. 

Pada masa sama, wujud pula kumpulan yang berpendirian mahu mengutamakan akhirat semata-mata sehingga meninggalkan kehidupan dunia.

Menyentuh perkara ini, pensyarah bebas, Harryanto Rizal Rokman menegaskan, perkara itu berlaku disebabkan manusia hanya dapat melihat atau nampak kehidupan serta keseronokan dunia tetapi tidak dapat melihat kehidupan akhirat kerana ia perkara ghaib.

“Bagaimanapun, amalan kita di dunia itu yang akan menentukan nasib kita di akhirat sama ada menuju ke syurga atau neraka. Akan tetapi disebabkan manusia tidak nampak akhirat, mereka tersilap untuk membezakan mana yang lebih penting adakah dunia atau akhirat,” katanya pada majlis Forum Hal Ehwal Islam bertajuk Dunia Diuji, Syurga Dinikmati anjuran bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan The New Straits Times Press (NSTP) di Balai Berita, kelmarin.

Dalam bentuk sindiran, beliau menjelaskan, manusia mungkin akan berlumba-lumba mengerjakan amalan jika Allah SWT memberi keizinan kepada mereka untuk melihat jumlah amalan mereka seperti kita dapat memeriksa jumlah simpanan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kalau pahala boleh diperiksa macam kita periksa duit KWSP, sudah tentu manusia akan gembira kerana dapat mengetahui jumlah amalan mereka. Walaupun simpanan itu belum boleh diambil, tetapi kita nampak. Dapat tengok berapa banyak jumlahnya pun akan menggembirakan walaupun tidak dapat lagi.

“Akan tetapi, pahala, dosa dan akhirat ini perkara yang tidak nampak kerana Allah hendak menguji manusia di dunia bagi menentukan kehidupan mereka di akhirat sama ada ke syurga atau neraka,” katanya.

Seorang lagi ahli panel forum, Abdul Halim Din menegaskan umat Islam perlu menyoal diri mereka dengan tiga soalan setiap hari selepas bangkit dari tidur iaitu siapa diri kita, untuk apa kita di dunia dan ke mana kita akan pergi selepas ini.

“Manusia perlu menjadikan Allah sebagai keutamaan dalam setiap aspek kehidupan, pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedekah dikeluarkan,” tegasnya. 

Khutbah Jumaat: Masyarakat prihatin dapat hindari kemungkaran berleluasa

Khutbah Jumaat: Masyarakat prihatin dapat hindari kemungkaran berleluasa
2011/12/23

MUTAKHIR ini hampir setiap hari dilaporkan media massa pelbagai fenomena gejala sosial melanda masyarakat negara kita. 
Perlakuan buruk ini bukan saja membabitkan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Antara fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita seperti kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, kes bersekedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol, mencuri, pecah rumah dan sebagainya.


Pada pemerhatian mimbar kebanyakan kes itu membabitkan masyarakat Melayu yang beragama Islam yang berlaku di sekeliling kita. Persoalan besar timbul ialah kenapa ia berlaku? Adakah ia menggambarkan agama Islam itu sendiri gagal mendidik umatnya atau sikap masyarakat Islam yang tidak prihatin dan mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya sehingga ada mayat di sebelah rumah, anak kecil di dera atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya. Adakah ini ajaran Islam yang sebenar kepada umatnya?

Mimbar berasa yakin sikap sebegini bersalahan daripada tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain seperti bangunan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (hadis Riwayat Muslim ) 

Manusia dijadikan Allah SWT seolah-olah satu badan, jika sakit satu bahagian anggota, maka anggota lain turut merasainya. Tidak beriman seseorang mukmin sekiranya mereka tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Alangkah ruginya sekiranya kita hanya berdoa ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri kita saja sedangkan jiran dan masyarakat yang lain di biar dalam kemungkaran. Hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak beriman seseorang itu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya” (Hadis Riwayat Muslim) 

Ingatkah kita bagaimana suasana masyarakat dipupuk nenek moyang kita suatu ketika dulu. Jika kita kenang dan renung kembali amalan generasi terdahulu, kita akan sedar betapa murni dan bijaknya mereka menjaga kita. Sesuatu kesalahan dilakukan bila dilihat seseorang maka mereka segera menegur atau memarahi tanpa mengira siapa dan anak siapa.

Lebih daripada itu ibu bapa juga akan dimaklumkan dan anak nakal itu akan mendapat habuan seperti dimarahi atau dipukul ibu bapa. Ini menyebabkan anak tidak berani melakukan kesalahan walaupun di belakang ibu bapa mereka kerana sedar semua orang mengambil berat terhadap mereka dan tidak timbul langsung perasaan takut untuk menegur. 

Berbeza sekali dengan pemikiran sesetengah ibu bapa pada zaman moden ini yang konsep tegur menegur seolah-olah tidak lagi relevan dalam kehidupan mereka. Masyarakat yang prihatin, saling tegur-menegur mampu menjamin keselamatan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial dengan cara muafakat, sama ada melalui rukun tetangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen kesedaran. Pada masa sama dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlaku pekara yang ganjil dan meragukan dalam masyarakat. Justeru, membina ikatan yang kuat dan kerjasama sesama kita syarat utama bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat. Kita bukan lagi hidup dalam gua seperti zaman purba. Kita hidup bermasyarakat, berkomuniti, berhubung antara satu sama lain, saling bergantungan ibarat pepatah ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing.’ 

Masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain menjadi elemen penting dalam usaha membangun negara. 
Mari kita bertanya kepada diri kita, apakah erti pembangunan yang kita bangunkan pada hari ini, jika pada masa sama akhlak manusiawi runtuh roboh. Mimbar percaya jika masyarakat bersikap prihatin, isu gejala sosial tidak akan berlaku kerana setiap masa dan tempat diperhatikan. Ingat gejala sosial isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman. 
Porak-peranda kehidupan masyarakat berpunca daripada wujudnya golongan rosak akhlak yang membelakangkan agama dengan mengutamakan hawa nafsu. Permasalahan ini tidak dapat di atasi selagi masyarakat mengamalkan sikap ‘keakuan’ dengan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya. 

Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dulu. kita juga mesti menanam perasaan kasih sayang terhadap masyarakat dan negara. Renungi pepatah Melayu yang menyebut ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat’. 

Pepatah ini amat sesuai dan selari dengan tuntutan Islam kerana ia dilihat menjadi suatu permulaan atau kunci ke arah membentuk masyarakat prihatin dan perpaduan sejagat, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan suasana semasa serta sehaluan dengan apa yang diingatkan pihak pemerintah pada hari ini. 

Justeru, Islam menggalakkan umatnya sentiasa bekerjasama dan berpadu tenaga dalam semua perkara demi mencapai kebaikan sebagai usaha mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2, bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwa kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). 

Sumbangan JAKIM 

JPA, CUEPACS berunding hari ini

Perbincangan selesai isu skim SBPA sebelum dapat dilaksana 1 Januari ini

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengadakan rundingan hari ini bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari ini.
Difahamkan, perbincangan itu akan menentukan sama ada SBPA ditangguhkan ke satu tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak atau sebaliknya.
JPA dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini petang semalam mengesahkan perbincangan itu akan diadakan hari ini.

“Berikutan terlalu banyak pertanyaan diterima mengenai status pelaksanaan SBPA, adalah dimaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti ditetapkan.
“JPA bersama CUEPACS akan mengadakan perbincangan esok (Jumaat) bagi membincangkan isu dibangkitkan CUEPACS,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, serta beberapa pegawai kesatuan sekerja yang mewakili kira-kira 1,4 juta penjawat awam mengadakan pertemuan kira-kira 45 minit dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pejabat Perdana Menteri, di sini, berhubung isu sama.
Bercakap pada sidang media di Serdang selepas pertemuan itu, Omar berkata Perdana Menteri mengarahkan diadakan perundingan segera bagi menyelesaikan isu itu.

“Rundingan berkenaan antara lain adalah CUEPACS dan JPA menentukan sama ada pelaksanaan SBPA diteruskan mulai 1 Januari depan atau satu tarikh baru akan ditetapkan. 

“Perdana Menteri berharap semua pertikaian dan kekeliruan berhubungan SBPA dapat diselesaikan sebaik mungkin dengan persetujuan kedua-dua pihak sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan,” katanya.

Berikutan itu, Omar berkata beliau akan mengetuai delegasi CUEPACS untuk mengadakan pertemuan dengan wakil JPA di sini, hari ini (Jumaat) bagi menyelesaikan isu pelaksanaan SBPA.

Sementara itu, Pemuda UMNO berharap rundingan antara JPA dan CUEPACS hari ini dapat menyelesaikan isu SBPA di samping menjamin keadilan serta ketelusan buat 1.4 penjawat awam seluruh negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata rundingan terbabit dapat memastikan keadilan dan ketelusan dalam SBPA serta semua persoalan dibangkitkan dapat diselesaikan.

“Saya berharap rundingan dilaksanakan dengan berhemah agar isu dibangkitkan dapat diselesaikan segera bagi menepati sasaran dan iltizam kerajaan untuk membina warga kerja awam cekap, produktif serta mampu merealisasikan perancangan transformasi negara,” katanya. 


Sumber: Berita Harian 

Pasukan khas SPRM siasat NFC

Polis tahan ahli perniagaan cuba sogok pegawai Bukit Aman kendali kes

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan satu pasukan khas diketuai Pengarah Siasatannya, Datuk Mustafar Ali, bagi memberi tumpuan khusus dalam siasatan keseluruhan kes berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).


SPRM dalam satu kenyataan semalam, berkata pengumpulan bukti dan keterangan dimulakan sejak isu terbabit dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2010 Oktober lalu.
Suruhanjaya itu turut mengesahkan sudah menerima aduan terbaru berhubung kes berkenaan dan sebahagian besar daripada isu yang dibangkitkan dalam aduan terbabit sudah diambil tindakan sewajarnya.

“Pihak kami memandang serius semua aduan rasuah yang dibuat dan mengambil tindakan tegas tanpa rasa takut atau memihak kepada sesiapa.

“Semua pihak diminta memberi kerjasama sepenuhnya dan tidak mempolitikkan isu itu sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi yang boleh menjejaskan tindakan SPRM,” katanya. 

SPRM juga menegaskan pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran siasatan yang sedang dijalankan selaras peruntukan mengikut Seksyen 29 (4) Akta SPRM 2009. 
Isu NFC yang mengaitkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berikutan syarikat berkenaan yang dimiliki keluarganya, tercetus berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu.

Projek penternakan lembu bernilai RM250 juta dibiayai dana awam di Gemas itu terus mencetuskan kontroversi terutama yang dibangkitkan pembangkang.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan reman selama dua hari mulai semalam selepas didapati cuba menyogok empat pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, yang menjalankan siasatan berkaitan kes NFC dan kes penipuan lain.

Suspek berusia 45 tahun itu dilaporkan melakukan kesalahan berkenaan kelmarin di Ibu Pejabat JSJK di Bukit Perdana di sini, ketika diminta memberikan keterangan berhubung siasatan yang dijalankan termasuk kes penipuan terbaru yang dilaporkan di Cheras, tiga minggu lalu.

Lelaki yang menjalankan perniagaan agensi pekerja asing dan mempunyai syarikat pengangkutan itu turut disiasat atas kesalahan melakukan penipuan di Bercham, Ipoh dan dikehendaki oleh JSJK Perak bagi membantu siasatan.

Pengarah JSJK Datuk Syed Ismail Syed Azizan pada sidang medianya petang semalam berkata, suspek berkenaan sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat SPRM untuk siasatan lanjut.

“Saya tidak boleh komen banyak berhubung kes ini, bagaimanapun apa yang dapat saya nyatakan pihak kami sudah memanggil 27 individu termasuk suami dan anak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil berhubung siasatan kes NFC dan akan memanggil beberapa lagi saksi lain, namun sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kes berkenaan,” katanya.

Sehingga kini, JSJK sudah merakam percakapan beberapa pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta individu yang terbabit dalam memberikan perkhidmatan kepada NFC.

“Kami terpaksa mengambil masa agak lama menyiasat kes NFC berikutan dokumen dan maklumat yang terlalu banyak untuk dilihat dan dikaji dan sehingga kini siasatan lanjut masih dijalankan beberapa pegawai yang kita tugaskan khusus menyiasat kes itu,” katanya.

Syed Ismail juga berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas melakukan penipuan dan Seksyen 409 atas kesalahan melakukan pecah amanah selain disiasat oleh SPRM berhubung cubaan memberi sogokan.

Terdahulu suspek yang ditahan kelmarin, dilihat tiba di Lokap Tahanan Polis Kuala Lumpur Bukit Jalil, kira-kira jam 11 pagi semalam bagi mendapatkan perintah tahanan reman berhubung siasatan yang dijalankan ke atasnya.

Suspek dilihat keluar dari lokap kira-kira sejam setengah kemudian dan terus dibawa kembali ke Bukit Perdana selepas Majistret Tengku Eliana Tuan Kamarulzaman memberikan kebenaran reman selama dua hari.

Mustafar yang dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang didakwa cuba merasuah pegawai JSJK. 

JPA, CUEPACS ADAKAN RUNDINGAN MENGENAI SBPA JUMAAT

Bernama
22/12/2011

SERDANG, 22 Dis (Bernama) -- Satu rundingan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs akan diadakan Jumaat bagi menentukan sama ada pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan ditangguhkan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan.

Keputusan itu dibuat hasil pertemuan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri pagi tadi, yang turut disertai pegawai tertinggi Cuepacs, anggota kesatuan serta wakil daripada JPA.

Bercakap kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan anggota Cuepacs di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Khamis sebaik selesai bertemu Perdana Menteri, Omar berkata Perdana Menteri mahu isu SBPA diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

"Perdana Menteri berharap isu SBPA mesti dirundingkan bersama-sama antara JPA dan Cuepacs sehingga persetujuan bersama tercapai, barulah ia boleh dilaksanakan," katanya.

JPA dalam satu kenyataan pada Khamis mengesahkan akan mengadakan perbincangan itu bersama Cuepacs bagi membincangkan segala isu yang dibangkitkan.

-- BERNAMA

SAMBUT BAIK PENANGGUHAN SBPA - PAS


KUALA LUMPUR, 22 Dis: PAS menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menangguhkan perlaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) seperti yang diumumkan hari ini.

Keputusan tersebut disifatkan sebagai kejayaan awal yang dinikmati oleh kakitangan sektor awam, hasil kerjasama PAS serta Pakatan Rakyat dan Cuepacs yang menentang keras perlaksanaan skim itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, tanpa kerjasama politik, khususnya tentangan PAS, skim tersebut mustahil ditangguhkan perlaksanaannya meskipun jelas menzalimi kakitangan awam khususnya yang berada di dalam Kumpulan Sokongan.

Menurutnya, keputusan penangguhan itu pasti melegakan kakitangan sektor awam, tetapi ia tidak bermakna jika tidak dibatalkan kesemua perjanjian berhubung dengannya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri agar turut membatalkan kesemua perjanjian yang telah dibuat oleh kakitangan sektor awam berhubung perkara itu yang telah menurunkan tanda tangan masing-masing baru-baru ini menerusi borang yang disediakan.

"Banyak kakitangan awam telah menurunkan tanda tangan mereka baru-baru ini. Kini setelah perlaksanaan skim itu ditangguhkan, kesemua mereka yang telah menurunkan tanda tangan tertanya-tanya mengenai perkara itu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Kakitangan terbabit, tegasnya, bimbang akan terperangkap dengan tindakan selanjutnya jika kesemua perjanjian itu tidak dibatalkan.

"Esok Cuepacs akan mengadakan perbincangan dengan JPA. Diharap perbicangan itu akan mendatangkan hasil yang baik bagi kepentingan kakitangan sektor awam," katanya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap agar perbincangan tentang tangga gaji dan pelbagai perkara lain bagi kepentingan kakitangan sektor awam akan dilanjutkan pada persidangan Parlimen.

Beliau turut mendesak Perdana Menteri agar menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah tangga gaji yang terlalu jauh berbeza antara Kumpulan Premier dan kumpulan-kumpulan lain dalam sektor awam.

"Kesemua langkah itu perlu dilakukan bagi membolehkan kakitangan awam mendapat keadilan, ekoran jurang yang terlalu jauh berbeza antara mereka yang berada di dalam Kumpulan Sokongan berbanding Kumpulan Premier.

"Sedangkan kakitangan dalam Kumpulan Sokongan itu adalah yang paling besar jumlahnya daripada 1.4 juta kakitangan sektor awam, manakala yang berada dalam Kumpulan Premier hanyalah 36 orang termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN)," ujar beliau.

Sumber: HarakahDaily

Local Times

Visitors

free counters